KUALA LUMPUR 27 Dis. - Prudential BSN Takaful Bhd. (PruBSN) telah melancarkan PruBSN Ummah, produk yang pertama seumpamanya yang menyasarkan orang-orang Islam.


"Kami sangat gembira dengan respons terhadap PruBSN Ummah. Produk kami direka bentuk dengan mengambil kira kepentingan para pelanggan dan keperluan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Azim Mithani dalam satu kenyataan hari ini.


PruBSN Ummah adalah satu pelan Takaful Keluarga yang unik yang direka bentuk khusus untuk membantu orang Islam menzahirkan kewajipan keagamaan masing-masing dan pada masa yang sama menyediakan mereka perlindungan dan simpanan.


Lebih-lebih lagi, PruBSN Ummah menyediakan simpanan bagi bakal jemaah haji dan umrah, menawarkan bonus kesetiaan, menyediakan keselamatan kewangan daripada kematian yang belum sampai pada masanya atau kecacatan keseluruhan yang berkekalan dan perlindungan penyakit yang kritikal.


Ia turut menawarkan khidmat penulisan wasiat, sekali gus menjadi satu pelan yang benar-benar komprehensif.
"Kesemua pengedar kami sangat teruja mengenai PruBSN Ummah kerana mereka melihat ini sebagai satu pelan takaful yang unik di dalam pasaran Takaful bagi menguasai segmen pasaran baharu," kata Azim.


"Saya berkeyakinan bahawa kami akan berupaya menawarkan liputan yang lebih baik pada masa depan, dengan mereka bentuk dan mempromosikan pelan yang menarik bagi sebahagian besar pasaran dan mengekalkan kepimpinan pasaran kami dalam bahagian itu," katanya. - Bernama

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Prudential BSN Takaful Bhd. (PruBSN) hari ini melancarkan pelan takaful keluarga pertama di Malaysia iaitu PruBSN Ummah yang menawarkan perlindungan dan simpanan kepada pelanggan.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azim Mithani berkata, pelan baharu ini juga direka khas untuk pelanggan beragama Islam dalam memenuhi keperluan rohaniah mereka.

Menurutnya, PruBSN Ummah merupakan produk takaful yang inovatif kerana membenarkan pelanggan mengeluarkan sebahagian pelaburan selepas lima tahun untuk menampung kos menunaikan haji.

"Jika berlaku kematian ataupun kecacatan kekal kepada pelanggan ketika menunaikan haji, PruBSN Ummah akan membiayai sebanyak RM3,000 untuk kos bagi melaksanakan Haji Badal (wakil).

"Selain itu mereka juga dilindungi khairat kematian sebanyak RM2,000. Pelan baharu ini mampu memberi ketenangan kepada bakal haji dalam usaha memperoleh haji mabrur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran produk itu dan majlis meterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Amanah Raya Bhd. (Amanah Raya).

Selain itu, pelanggan PruBSN Ummah boleh meningkatkan pelan mereka dengan menambah perlindungan komprehensif terhadap 36 jenis penyakit kritikal.

Tambahnya lagi, bagi menghargai pelanggan setia yang membayar mengikut jadual, mereka akan diberi bonus iaitu Elaun Haji sepanjang menunaikan ibadah tersebut.

Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR: “Setakat ini hanya 41 peratus rakyat di negara ini memiliki insurans hayat. Ini menunjukkan tahap kesedaran mereka mengenai pentingnya insurans masih kurang,” kata Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (PIHM), Md Adnan Md Zin (gambar), yang melahirkan rasa kebimbangan terhadap kurangnya kesedaran rakyat Malaysia untuk membeli insurans hayat.

Katanya, daripada 28 juta rakyat negara ini, hanya 11 juta daripada mereka memiliki insurans hayat.

“Daripada 11 juta kita mendapati 30 peratus atau hanya 3.3 juta pembeli adalah orang Melayu. Ini juga bermaksud bahawa kesedaran orang Melayu untuk membeli insurans hayat berada di tahap yang membimbangkan,” katanya ketika hadir ke pejabat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini, bagi mengadakan hubungan kerjasama mengenai kepentingan insurans, semalam.

Difahamkan, PIHM akan menyumbangkan artikel mengenai kepentingan insurans kepada akhbar Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times (NST) seminggu sekali selama 15 minggu bagi memberikan kesedaran kepada pembaca mengenai keperluan insurans.

From : HARIAN METRO (26/03/2011)